Sunday, 24 August 2014

ISU GEJALA SOSIAL - PONTENG SEKOLAH


          
       APAKAH ISU...?

 Isu berkenaan gejala sosial juga tidak kurang bahananya dalam masyarakat Malaysia di mana banyak kes seperti kes rogol, buli, penyalahgunaan dadah, gengsterisme, dan sebagainya telah berlaku. Isu yang kini tidak dapat dinafikan semakin menular dalam kalangan masyarakat khususnya pelajar pula ialah gejala ponteng sekolah . Apakah ponteng sekolah? Menurut Kamus Dewan, ponteng didefinisikan sebagai lari daripada tanggungjawab atau tugas tanpa kebenaran . Ponteng merupakan kes ketidakhadiran yang berpunca daripada kehendak pelajar itu sendiri dan bukannya kes yang mempunyai alasan kukuh seperti sakit, kemalangan dan sebagainya. Ponteng juga merujuk kepada pelajar yang menghadiri sekolah tetapi tidak menghadiri kelas. Di sesetengah sekolah, pelajar yang sering ponteng akan hilang kelayakan untuk tamat sekolah, didenda, atau digantung sekolah. .Yang lebih membimbangkan, sejak akhir-akhir ini masalah ponteng sekolah semakin menjadi-jadi dan telah sampai ke peringkat yang serius. Untuk mengatasi masalah ini, langkah pertama yang perlu diambil ialah mengenal pasti punca masalah.
                                                                     
 APAKAH PUNCA...?  

Sebenarnya, gejala ponteng berlaku berpunca daripada banyak perkara seperti faktor luaran iaitu pembinaan tempat-tempat hiburan, pengaruh rakan sebaya,dan pengaruh pengaruh media massa. Namun begitu, punca yang lebih relevan ialah sikap pelajar sendiri yang hedonistik iaitu terlalu mengejar keseronokan sehingga mengabaikan pelajaran. Hal ini izhar sekali kerana terdapat pelajar yang sanggup ponteng demi memenuhi keinginan untuk melepak atau berkumpul di kawasan seperti pusat membeli-belah dan pusat permainan video. Malahan terdapat juga pelajar yang ponteng untuk menonton wayang dan melakukan perkara tidak berfaedah yang lain. Bagi mereka, belajar di sekolah merupakan sesuatu yang membosankan kerana tidak mengandungi unsur-unsur hiburan. Pelajar seperti ini juga tidak mempunyai kesedaran tentang pentingnya pendidikan untuk menjamin masa depan yang cerah. Oleh itu, mereka lebih mengejar keseronokan yang menggamit mereka di luar sekolah.
  
DI MANA IA SERING BERLAKU...?

Secara umumnya, gejala ponteng ini berlaku di sekolah-sekolah menengah dan sekolah-sekolah rendah tidak kiralah di kawasan bandar mahupun luar bandar. Bagaimanapun, tidak dapat dinafikan bahawa kes ini lebih banyak berlaku di kawasan bandar. Buktinya, Kementerian Pendidikan ada membuat laporan yang menyatakan peratus pelajar yang terlibat dengan gejala ponteng didapati semakin meningkat dari semasa ke semasa terutama bagi sekolah-sekolah di kawasan bandar. Ini kemungkinan besar disebabkan oleh kedudukan bandar yang mempunyai banyak tempat dan kemudahan yang boleh menarik pelajar.
  
KESANNYA...?

Kesan isu ini kepada masyarakat ialah keharmonian terjejas kerana pelajar yang selalu ponteng sekolah lazimnya cenderung melakukan perkara-perkara yang kurang baik seperti pecah rumah dan tidak beradab sopan dalam tingkah laku dan pertuturan. Masyarakat juga akan memandang serong terhadap pelajar dan kadang kala menyuarakan ketidakpuashatian terhadap ibu bapa pelajar tersebut. Kesannya kepada negara pula ialah, menyebabkan negara tidak dapat melahirkan generasi berkualiti yang cukup untuk mengambil alih tampuk kepimpinan kerajaan. Ini akan menyebabkan negara sukar untuk mencapai aspirasi negara berikutan masalah kekurangan pelapis pemimpin yang dapat memacu tampuk kepimpinan.
  
CARA MENGATASI...?

Jelasnya, masalah gejala sosial ini perlulah ditangani. Antara yang boleh dilakukan ialah memperkukuhkan kolaborasi peranan antara kementerian pelajaran dan PDRM. Polis Diraja Malaysia perlu menempatkan beberapa anggota polis untuk memantau kawasan tumpuan remaja bagi mengesan pelajar yang ponteng, dan sekiranya ada pelajar yang didapati ponteng tertangkap maka pelajar tersebut perlu dikenakan tindakan yang sewajarnya, contohnya ditahan di dalam penjara selama seminggu. Pihak sekolah pula perlu memainkan peranan untuk menyediakan suasana persekolahan yang kondusif serta dapat menarik minat pelajar agar terus menghadiri kelas. Pihak sekolah juga boleh memberikan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling kepada pelajar. Bagi pihak berkuasa tempatan, inisiatif yang dapat dilakukan ialah menyertakan syarat remaja berpakaian seragam sekolah tidak boleh memasuki premis mereka sebagai salah satu syarat untuk mengeluarkan lesen bagi tempat-tempat hiburan seperti kafe siber dan arked permainan video. Lebih signifikan ialah pelaksanaan peranan ibu bapa dari akar umbi lagi bagi mencegah anak-anak mereka daripada ponteng sekolah. Mereka perlu sentiasa memantau persekolahan dan aktiviti anak-anak.
   
KOMEN

Bagi saya isu ponteng sekolah merupakan isu yang patut dipandang serius oleh setiap lapisan masyarakat. Sebenarnya masalah ini bukan saja timbul di sekolah menengah malahan di sekolah rendah. Oleh sebab itu, sebagai seorang guru sekolah rendah kita perlu ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’ agar murid-murid di sekolah rendah tidak terpengaruh dengan gejala ini apabila meningkat ke sekolah menengah. Murid-murid tersebut akan berfikir baik dan buruknya apabila mereka ponteng sekolah. Dengan ini, jumlah pelajar yang ponteng sekolah dapat diminimumkan dan jumlah pelajar cemerlang di sekolah dapat ditingkatkan. Dalam konteks ini, anggota masyarakat juga perlu berganding bahu dalam membantu pihak sekolah untuk mengatasi gejala negatif ini dan tidak bergantung kepada pihak sekolah semata-mata kerana isu ini hanya dapat dibendung jika semua orang mengamalkan sikap ‘berat sama dipikul, ringan sama dijinjing’.
  Kesimpulannya, bagi saya remaja atau pelajar merupakan aset negara yang amat berharga. Oleh itu, isu negatif yang melibatkan mereka perlulah diambil serius oleh seantero masyarakat agar langkah drastik dapat dilakukan untuk menghalang pelajar daripada terus terjeremus dalam aktiviti-aktiviti yang negatif seperti ponteng sekolah. Dengan itu, semaja yang mempunyai nilai hidup berkualiti khususnya dari segi kesantunan dan budi bahasa dapat dilahirkan . Kesantunan warga pelajar juga dapat dipertingkatkan.

No comments:

Post a Comment