Kesantunan melibatkan perlakuan yang mengurangkan pergeseran sesuatu interaksi. Justeru, kesantunan merupakan usaha untuk mengekalkan komunikasi yang harmoni tanpa konflik. Oleh itu, kesantunan diukur berdasarkan penggunaan kata-kata dan perlakuan seseorang individu dalam pergaulan dengan ahli-ahli masyarakat. Dengan kata lain, kesantunan mempunyai hubungan yang rapat dengan penjagaan muka seseorang yang melibatkan maruah diri.
Muka dalam masyarakat Melayu merujuk kepada air muka (Asmah, 2000). Muka sangat berkait rapat dengan maruah diri sehingga tercipta pelbagai peribahasa yang berkaitan dengan muka. Antaranya ialah :
- muka sengkalan
- muka bantal
- muka tembok
- muka papan
- muka tarpal
Penciptaan peribahasa yang banyak itu mempunyai satu makna menunjukkan bahawa orang Melayu sangat mementingkan ''malu'' dan ''air muka''. Malu dapat fahami sebagai suatu nilai suci dan murni yang menjadi asas kepada kepercayaan yang diterima sebagai mutlak dan luhur yang merupakan maruah bangsa. Menurut Islam juga, malu ialah perasaan yang mendesak seseorang supaya menghindarkan segala perbuatan yang keji dan melaksanakan segala yang terpuji.
Oleh itu, lahirlah peribahasa ''menconteng arang di muka'' yang bermaksud sesuatu perlakuan yang mendatangkan malu dan aib kepada keluarga. Antaranya sesuatu tindakan yang terkeluar daripada kehendak dan norma masyarakat, seperti gadis ''kahwin lari'', maka tindakannya dikatakan tindakan yang tidak santun kerana telah melanggar adat masyarakatnya. Anggota masyarakat yang sanggup memalukan diri sendiri dan ahli keluarganya dianggap tidak bermaruah.
No comments:
Post a Comment