ISU
Teknologi maklumat dan komunikasi atau ICT ( Information and Communication Technology) merupakan teknologi yang diperlukan untuk pemprosesan data dan menjadi satu keperluan khas masyarakat era modenisasi kini berikutan fungsinya yang amat signifikan kepada manusia. Walau bagaimanapun, apabila ia disalahgunakan maka timbullah isu-isu yang tidak elok. Antaranya ialah, isu kelunturan kesantunan berbahasa. Pada era ledakan teknologi ini, keutamaan tidak lagi diberi kepada kesantunan berbahasa. Misalnya, pengguna IT seringkali menggunakan kata-kata yang kurang sopan dalam komunikasi seperti menggunakan kata ganti ‘ engkau’ dan ‘kau’ dalam interaksi walaupun dengan orang yang lebih tua. Penggunaan singkatan perkataan seperti ‘aq’ untuk ‘aku’ juga semakin meluas yang sememangnya jika dilihat dari konsep kesantunan bahasa Melayu, dianggap sebagai biadab.
PUNCA
Hal ini berlaku mungkin disebabkan oleh terlalu terdedah dengan fenomena berbahasa yang kasar yang sering dipaparkan melalui teknologi ICT sebagai medium. Apatah lagi perkembangannya kini semakin pesat dan sangat mempengaruhi masyarakat khususnya generasi muda. Jadi, isu ini banyak berlaku di media-media sosial seperti ‘facebook’, ‘wechat’, ‘whatsapp’ dan sebagainya.
KESAN
Kesan isu ini kepada masyarakat ialah menghakis nilai hormat-menghormati. Ini kerana, penggunaan bahasa yang kurang sopan menunjukkan nilai kesantunan yang semakin luntur. Citra dan peribadi masyarakat juga dipandang negatif. Impaknya kepada negara, berlakunya kecelaruan dalam sistem bahasa yang mana menyebabkan pemartabatan bahasa negara kita terjejas. Misalnya, penulisan dalam urusan rasmi yang turut dipengaruhi oleh isu ini akan menyebabkan negara lain memandang rendah terhadap kelemahan sistem bahasa negara.
CARA MENGATASI
Perkara ini dapat diatasi dengan kerjasama antara pihak kerajaan dan rakyat untuk melakukan tindakan. Sebagai contoh, kerajaan perlu melancarkan kempen untuk menggunakan kesantunan bahasa yang betul semasa berinteraksi tidak kiralah di media-media sosial mahupun situasi komunikasi secara langsung. Penggunaan bahasa yang santun juga perlu ditegaskan. Lebih tegas lagi, tindakan boleh dikenakan kepada pihak yang menyalahgunakan teknologi ICT sehingga mencetuskan isu kesantunan. Rakyat pula seharusnya menjalankan tanggungjawab menjaga keperibadian bangsa negara dengan menyahut seruan kerajaan dan seruan kempen untuk menggunakan sebaik-baiknya budi bahasa.
KOMEN
Pada pendapat saya, sebagai ahli masyarakat yang prihatin, marilah sama-sama menggunakan bahasa yang betul semasa berinteraksi menggunakan media-media sosial. Penggunaan bahasa kita dengan betul mencerminkan keperibadian kita sebagai rakyat Malaysia yang meskipun berbilang kaum dan bahasa tetapi tetap mencintai bahasa kebangsaan kita, dan mengamalkan hidup penuh kesantunan.
No comments:
Post a Comment