Pembuangan
bayi biasanya melibatkan golongan remaja yang bertindak terburu-buru ketika
mengambil tindakan. Kemelut yang semakin serius ini bagaikan bangkai
gajah yang tidak dapat ditutupi dengan nyiru lagi apabila
akhbar-akhbar perdana negara sering memaparkan kejadian ini dalam akhbar mereka
dengan begitu meluas tanpa segan-silu. Hal ini bukan sahaja menyusahkan
pelbagai pihak malah imej negara kita akan tercalar. Jadi, sebelum mencari
jalan penyelesaiannya, kita perlulah mengenal pasti sebab musabab yang menjadi
akar umbinya sebelum kemelut ini menjadi barah kerana kalau tiada angin
masakan pokok bergoyang.
Kemelut
ini berlaku lantaran kurangnya didikan agama dalam kalangan
remaja kita. Kekurangan ini mungkin akibat kekurangan didikan dan perhatian ibu
bapa serta impak kemodenan yang melanda negara kita. Remaja kita tidak
mempunyai pegangan agama yang tebal dan mudah dipengaruhi oleh desakan seksual
mereka itu. Tanpa didikan agama yang teguh, mereka tidak dapat membezakan
sesuatu perbuatan mereka itu betul atau salah dan tidak dapat membezakan antara
hak dengan batil. Hal ini dapat dilihat apabila remaja perempuan mudah terlibat
dalam kancah perzinaan sedangkan berzina itu haram di sisi agama. Kesannya,
banyak anak luar nikah yang lahir dan akhirnya bayi yang tidak berdosa itu
dibuang demi menutup malu perbuatan remaja yang goyah imannya. Jadi, didikan
agama yang kurang mantap menyebabkan masalah ini kian meruncinng.
Selain
itu, isu ini turut berleluasa kerana institusi kekeluargaan itu sendiri
sudah runtuh. Sudah menjadi kebiasaan kini sesebuah keluarga itu tidak
mempunyai ayah atau ibu untuk mendidik. Ketiadaan ini menyebabkan tanggungjawab
mendidik anak tidak menjadi satu keperluan yang harus dipenuhi dengan baik.
Menurut kajian Jabatan Kebajikan Masyarakat bahawa 50 peratus masalah sosial
remaja berpunca daripada keluarga yang porak peranda. Ibu atau bapa yang
tunggal sering sibuk mencari tuntutan nafkah untuk menyara kehidupan
keluarganya. Lantaran itu, mereka telah mengabaikan tanggungjawab hakiki mereka
dalam mendidik dan memantau setiap perlakuan anak mereka. Pengabaian ini
akhirnya mengundang padah apabila anak mereka terlibat dalam perbuatan yang
sumbang. Sesungguhnya, keadaan inilah yang menyebabkan masalah pembuangan bayi
menjadi-jadi.
Sikap
masyarakat yang terlalu suka menghukum turut menjadi penyebab
pembuangan bayi ini berlaku. Kita suka menganggap bahawa wanita yang mengandung
tanpa suami ini sebagai melakukan kesalahan tanpa menimbang keadaan yang
menjurus kemelut itu berlaku. Mungkin ada antara mereka yang mengandung
disebabkan tindakan manusia yang durjana sehingga sanggup merogol gadis yang
tidak berdosa. Dalam hal ini, wajarkah remaja itu dipersalahkan oleh perbuatan
manusia yang tidak berhati perut itu? Sememangnya kita harus bersimpati terhadap
mereka tetapi keadaan menjadi lebih rumit apabila terdapat segelintir daripada
ahli masyarakat kita yang lebih suka menunding jari kepada sesetengah remaja
tanpa meneliti punca yang menjadi permasalahan ini. Malangnya, masih terdapat
pemikiran masyarakat yang kolot lalu menyebabkan remaja tidak mempunyai tempat
untuk mengadu masalah mereka sehingga sanggup membiarkan anak mereka berada di
tempat yang tidak sepatutnya daripada dipandang jijik oleh masyarakat.
Tegasnya, sikap masyarakat seumpama ini merupakan pemangkin gejala ini.
Arus
kemodenan terutama melalui media massa telah menyemarakkan masalah
ini. Program dari Barat yang mengaitkan kebebasan dalam pergaulan telah
menyebabkan remaja mudah terpengaruh. Kehidupan moden sering dikaitkan dengan
hubungan seksual yang bebas. Remaja yang baru berumur setahun jagung
dan berdarah setampuk pinang sering dikuasai oleh perasaan ingin
mencuba pasti akan meniru aksi-aksi atau adegan-adegan panas yang terdapat
dalam filem Barat bagi memuaskan nafsu mereka. Mereka tidak lagi berasa takut
ketika melakukan perkara yang terkutuk itu asalkan nafsu berahi mereka dapat
dipenuhi. Lantaran itu, masalah ini terus menerus menjadi sesuatu yang lumrah
dan menjadi darah daging dalam hidup mereka. Sebagai
akibatnya, lahirlah anak luar nikah dan masalah pembuangan bayi semakin sukar
dikawal lantaran ingin menutup rasa aib atas perbuatan ibu bapa yang masih
remaja itu.
Sebelum
kudis menjadi tokak, kemelut remaja ini haruslah diatasi segera. Kita tidak
seharusnya mendopang dagu tetapi pelbagai pendekatan yang proaktif perlulah
diambil demi menangani masalah ini kerana di mana ada kemahuan di situ
ada jalan. Satu daripada langkah yang perlu dilaksanakan ialah semua
lapisan masyarakat hendaklah diberi pendidikan keibubapaan melalui
pelbagai program. Pendidikan ini bertujuan memberikan buah fikiran mengenai
perkahwinan yang sah kepada rakyat. Melalui cara ini, orang ramai akan menjadi
lebih berhati-hati supaya tidak melakukan perbuatan sumbang. Perkara ini harus
ditekankan kepada seluruh rakyat Malaysia terutamanya para remaja. Sebagai
contohnya, program pendidikan keibubapaan perlu diadakan untuk mendidik remaja
tentang perkara yang perlu diamalkan dalam kehidupan berkeluarga. Tegasnya,
orang ramai perlu diberi kesedaran tentang kesan buruk aktiviti pembuangan
bayi.
Selain
itu, pihak berkenaan hendaklah mengadakan ceramah atau kempenpada
peringkat sekolah mahupun peringkat taman-taman perumahan. Melalui program
tersebut, masyarakat dapat diberi kesedaran tentang keburukan pergaulan bebas.
Seperti yang kita ketahui, kes pembuangan bayi berpunca daripada pergaulan
bebas yang dianggap sebagai suatu perkara biasa bagi warga urban kini. Kita
seharusnya mengelakkan diri daripada unsur negatif tersebut supaya tidak
menjadi seperti sudah terhantuk baru nak tengadah. Sebagai contohnya, kempen
kesedaran ini perlu dilakukan secara besar-besaran melalui iklan, risalah dan
lain-lain. Kempen murni ini haruslah dilakukan secara berketiak ular dan bukannya
hangat-hangat tahi ayam. Sesungguhnya, usaha dinamik dan secara
konsisten ini diperlukan untuk membimbing rakyat supaya sentiasa berada di
landasan yang betul dalam kehidupan.
Langkah
yang seterusnya ialah pihak kebajikan masyarakat perlu menyediakan
perkhidmatan kaunseling. Khidmat nasihat hendaklah diberikan kepada
mangsa rogol dan individu yang mengandung tanpa nikah. Hal ini disebabkan
mangsa mengalami ketidakstabilan emosi dan mungkin akan cuba mencederakan diri
sendiri. Sebagai contohnya, mangsa rogol sanggup membunuh diri kerana tidak
dapat menerima kenyataan sebenar. Penubuhan Rumah Sri Puteri oleh Jabatan
Kebajikan Masyarakat dapat memberikan perlindungan dan khidmat nasihat kepada
mereka yang telah terlanjur ini. Oleh hal yang demikian, pusat kaunseling perlu
diperbanyak di seluruh negara untuk membantu mangsa-mangsa tersebut daripada
terus melakukan perkara yang terkutuk.
Di
samping itu, pesalah yang disabitkan kesalahan berzina atau kes rogol perlu
dikenakan hukuman yang berat. Perogol atau orang yang mencabul kehormatan
wanita merupakan manusia yang tidak berperikemanusiaan. Mereka perlu dijatuhi
hukuman yang berat sebagai peringatan kepada orang lain. Hal ini menyebabkan
wanita-wanita ini kehilangan harga diri dan terpaksa menanggung malu sepanjang
hayatnya. Perkara tersebut juga akan menconteng arang ke muka ahli
keluarga mangsa. Oleh sebab itu, undang-undang negara perlu dikuatkuasakan
supaya perogol atau mereka yang berzina berasa serik atau takut untuk melakukan
perkara tersebut yang salah di sisi agama. Sebagai contohnya, hukuman bagi
kesalahan berzina dan merogol adalah seperti penjara dan hukuman sebat. Hal ini
dapat mengurangkan jenayah pembuangan bayi yang tidak berdosa itu di negara
kita.
Seterusnya, pendidikan
agama dan moral harus dititikberatkan oleh ibu bapa untuk menyedarkan
anak-anak tentang dosa dan balasan yang akan diterima. Ibu bapa hendaklah
menitikberatkan pendidikan agama dan moral kepada anak-anak dan proses ini
hendaklah diteruskan walaupun seseorang itu telah meningkat umur dewasa. Pendidikan
agama dan moral amatlah penting dan perlulah disemaikan dalam sanubari rakyat. Albert
Einstein pernah berkata bahawa agama tanpa ilmu adalah buta dan ilmu tanpa
agama adalah lumpuh. Hal ini menunjukkan peri pentingnya didikan agama
dan moral dalam kehidupan kita supaya kehidupan tidak menjadi terumbang-ambing
seperti kapal tanpa nakhoda. Sebagai contohnya, anak-anak perlu diberi didikan
agama sejak kecil kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya dengan
menyuruh anak-anak tidak mengabaikan solat kerana bersolat itu dapat mencegah
daripada melakukan kemungkaran. Cara ini adalah efektif untuk mewujudkan
masyarakat yang bebas daripada kes pembuangan bayi.
Kesimpulannya,
masalah pembuangan bayi ini yang disebabkan oleh banyak faktor mempunyai
pendekatan yang tersendiri untuk diatasi jika dikaji secara telus. Pelbagai
pihak perlu berganding bahu bagai aur dengan tebing untuk
menyelesaikan dan mengurangkan kes pembuangan bayi yang berlaku di negara kita.
Masalah tersebut akan menular dan menjadi duri dalam daging jika
tidak ditangani segera ketika negara sedang berusaha untuk mencapai wawasan
2020. Kerjasama daripada semua pihak adalah amat penting untuk membendung
masalah ini kerana ke bukit sama-sama didaki, ke lurah sama-sama
dituruni.Melalui usaha ini, hasrat kerajaan untuk melahirkan masyarakat
yang sihat dan terbilang dari segi lahiriah dan rohaniah dapat direalisasikan.
No comments:
Post a Comment