Konsep kesantunan tidak harus tertumpu kepada satu-satu bangsa sahaja. Konsep kesantunan merentas budaya yang pelbagai. Pemahaman tentang apa yang dikatakan santun dalam pelbagai budaya harus diberi penekanan dalam proses berkomunikasi. Apabila proses komunikasi melibatkan pelbagai budaya maka berlakulah komunikasi silang budaya. Komunikasi silang budaya merupakan komunikasi yang melibatkan individu daripada latar budaya yang berbeza bangsa, ras, bahasa, agama, tingkat pendidikan dan taraf sosial.
Dengan kata lain, komunikasi silang budaya ialah komunikasi dengan mereka yang berlainan bangsa dan etnik serta jantina dalam pelbagai konteks seperti konteks pendidikan, politik, teknologi dan lain-lain. Komunikasi silang budaya dipengaruhi oleh pandangan terhadap dunia, kepercayaan dan tingkah laku, etika serta tanggapan terhadap sesuatu hubungan. Jadi segala komunikasi yang terjadi ini akan lebih toleransi serta mencapai matlamat yang maksimum jika nilai-nilai kesantunan sesuatu budaya atau masyarakat difahami dan dihayati. Respon terhadap budaya terdiri daripada cara berkomunikasi, keadaan komunikasi, bahasa dan gaya bahasa serta perilaku bukan verbal.
Budaya dan komunikasi mempunyai hubungan yang rapat. Budaya akan mempengaruhi cara kita berkomukasi. komunikasi terikat rapat dengan budaya. Budaya berbeza maka tingkah laku dalam komunikasi juga akan berbeza. Cara berkomunikasi, keadaan berkomunikasi, bahasa dan gaya bahasa yang digunakan meningkatkan risiko dalam komunikasi iaitu menyebabkan berlakunya salah faham. Dalam amalan yang biasa di barat, mencium pipi wanita yang tiada pertalian dianggap lazim sebagi cara menghormati tetamu. Namun bagi masyarakat timur perbuatan tersebut sesuatu yang tidak sopan.
Kesantunan sangat penting bagi masyarakat majmuk seperti di Malaysia. perpaduan akan dicapai melalui amalan kesantunan yang diamalkan dalam kehidupan seharian. Namun, maslaahnya ialah terdapat perbezaan budaya antara masyarakat Melayu, Cina, India dan lain-lain. Jadi adalah sangat penting bagi setiap kaum memahami dan menghayati nilai-nilai budaya yang akan mempengaruhiamalan kesantunan.
No comments:
Post a Comment