Sunday, 24 August 2014

GSB1012 Kesantunan Masyarakat Malaysia PPISMP Bimbingan Kaunseling 2014 Institut Pendidikan Guru Kampus Pulau Pinang

ISU : Bahasa Rojak Hilangkan Kesantunan Bahasa Melayu







         Umum mengetahui bahawa fenomena penggunaan bahasa rojak dalam kalangan masyarakat kian menjadi-jadi ketika ini, hinggakan 'trend' penggunaan bahasa bahasa bagaikan sudah sebati dalam kehidupan kita seharian. Kita tidak menafikan bahawa penggunaan bahasa rojak ini banyak digunakan oleh masyarakat kini bahkan oleh golongan-golongan perniagaan atau golongan korporat sekalipun.
Tambahan lagi, menurut Nik Safiah Karim(1981) melalui bukunya 'Pencemaran Bahasa Satu Aspek Perkembangan Bahasa Malaysia', beliau menyatakan bahawa penggunaan bahasa rojak ialah penggunaan bahasa yang melanggar peraturan-peraturan bahasa yang telah dipersetujui, sama ada pada peringkat sebutan, pilihan kata atau susunan frasa dan ayat. Jelas pada hari ini bahawa penggunaan bahasa rojak telah memperlihatkan aspek-aspek penggunaan bahasa yang kurang baik dengan pelanggaran peraturan-peraturan kod-kod bahasa, iaitu penggunaan bahasa yang bercampur aduk antara bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.
Hal ini bukan sahaja mencemarkan bahasa Melayu yang telah tersedia elok dengan peraturan-peraturan bahasa yang khusus dan sistem yang balik, tetapi juga menjejaskan kesantunan verbal kita. Contohnya, penggunaan bahasa rojak di majlis-majlis khususnya majlis rasmi akan menyebabkan wujudnya kepincangan dalam aspek kesantunan masyarakat kita. Apatah lagi jika majlis tersebut dihadiri oleh masyarakat lain. 

Dalam bahasa Melayu peralihan kod memang kerap berlaku terutamanya dalam situasi tidak formal. Namun kerap juga berlaku dalam keadaan formal seperti di dalam mesyuarat, kuliah dan beberapa wacana rasmi. Ragam bahasa ini di sebut sebagai ragam bahasa basahan, iaitu ragam bahasa yang digunakan untuk urusan tidak rasmi.
Bahasa rojak boleh dikatakan sebagai satu variasi atau satu ragam bahasa bahasan yang sesuai digunakan dalam suasana tidak rasmi. Walau bagaimanapun, apabila bahasa ini digunakan dalam urusan yang tidak rasmi, maka timbullah masalah kesalahan pemilihan ragam bahasa dan secara khusus masalah itu berkaitan dengan isu kesantunan bahasa. Hal ini disebabkan, bahasa Melayu kaya dengan kehalusan bahasa terutama dalam konteks pertuturannya.
Oleh yang demikian, jika bahasa rojak terus menerus mengambil tempat di dalam bahasa Melayu, tidak mustahil satu hari nanti kesantunan bahasa Melayu juga turut terjejas dalam konteks ayat dan sistem panggilannya. Justeru, penggunaan bahasa rojak perlu dibanteras agar bahasa Melayu terus mengambil kesinambungan kegemilangannya. 

Sumber : Artikel Berita Harian, ruangan forum, Mei 2012

No comments:

Post a Comment